Sunday, January 11, 2009

PERUTUSAN PENGARAH PENDIDIKAN GURU
SEMPENA PENDAFTARAN DAN MINGGU PENGURUSAN PESERTA
PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU SEKOLAH RENDAH (PGSR)
KURSUS DIPLOMA PERGURUAN MALAYSIA (DALAM CUTI-KDC)
AMBILAN NOVEMBER 2008

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Alhamdullilahi Rabbi ‘ Alamin Wassalatuala Asyrafil ‘ Ambia Mursalin Wa’ala Alihi Wasabihi Ajmain.

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya kita telah dapat memulakan Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) sepertimana yang dirancangkan dan meneruskan Kursus Dalam Cuti KDPM Bahasa China, Tamil dan Pendidikan Khas. Kepada semua yang telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) selamat datang dan selamat berkursus. Gunakan peluang yang diberi sebaik mungkin agar saudara-saudari dapat mengikuti pengajian dengan sempurna dan berjaya.

Kepada para peserta yang mengikuti Program PGSR tahniah dan syabas saya ucapkan kerana terpilih mengikuti program ini daripada 36,697 permohonan yang diterima dari seluruh pelusuk negara. Gunakanlah peluang yang ada untuk peningkatan akademik dan seterusnya merealisasikan pendidikan sepanjang hayat. Program PGSR ini juga selaras dengan usaha memartabatkan profesion perguruan seperti mana yang dinyatakan dalam Teras Strategik Kelima dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Kegigihan saudara-saudari untuk meningkatkan diri menerusi program PGSR sangat dihargai dan disanjung tinggi.

Saudara-saudari sekalian,
Program PGSR merupakan usaha Bahagian Pendidikan Guru dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi peluang kepada guru-guru di negara ini yang telah bertugas di sekolah meningkatkan taraf akademik dan profesionalisme tanpa menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Program ini telahpun diluluskan dalam Mesyuarat Hal-hal Profesional KPM yang diadakan pada 22 Jun 2007 dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Saya mengambil peluang ini, untuk mengajak saudara-saudari bermuhassabah diri dan bersyukur dengan peluang yang diberi. Berazamlah untuk belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapatkan ijazah. Jika hari ini saudara-saudari hadir di Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan semangat yang berkobar-kobar untuk melayakkkan diri bergelar siswazah, semangat ini seharusnya akan terus bersemarak sehingga ke saat akhir saudara-saudari mengikuti program PGSR ini. Saya ingin memetik ucapan Y.B. Dato’Sri Hishamuddin Tun Hussein dalam Perutusan Tahun Baharu 2006:

”...Hasrat kita adalah untuk memastikan bukan sahaja kita dapat melahirkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu untuk memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatanmereka...”

jadikanlah amanat YB Menteri Pelajaran ini sebagai pegangan selama saudara-saudari berada di IPG mengikuti program PGSR dan ketika bertugas di sekolah. Ikutilah program ini dengan penuh komitmen, rasa tanggungjawab dan kesungguhan. Jangan sekali-kali saudara-saudari melupakan tujuan asal saudara-saudari untuk meningkatkan taraf akademik. Saya yakin saudara-saudari yang terpilih merupakan guru-guru yang berkualiti, amanah dan bertanggungjawab yang dapat memberi sumbangan dalam usaha memartabatkan profesion keguruan.

Saudara saudari sekalian,
Di peringkat permulaan, 16 bidang telah dipilih untuk program PGSR dan kesemua 27 buah IPG terlibat. Saya ingin mengambil peluang ini untuk berpesan bahawa sebagai guru yang mengikuti pengajian di IPG, saudara-saudari tertakluk di bawah peraturan IPG dan Akta 174. Di samping itu, sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam yang diberi kebenaran belajar semasa cuti sekolah, saudara-saudari juga terikat dengan Perintah Am. Oleh yang demikian, saudara-saudari seharusnya menjadi pendorong disiplin yang baik kepada pelajar-pelajar praperkhidmatan di IPG. Citra dan penampilan diri saudara-saudari mesti mencerminkan aspek positif profesion keguruan. “Make yourself profesionally busy” dengan mengisi masa sebaik mungkin untuk memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang seterusnya akan membantu saudara-saudari untuk mendapat kejayaan yang cemerlang di akhir pengajian. Hindarkan perkara negatif yang boleh mencemar martabat seorang guru. Justeru itu, norma dan nilai yang diamalkan di sepanjang masa perlu menunjukkan ketinggian akal budi saudara-saudari sebagai seorang guru yang berpengalaman. Perlakuan saudara-saudari mesti lahir dari kesedaran dan falsafah yang berlandaskan Rukunegara. Pamerkan sifat-sifat yang baik dan akhlak mulia sepanjang masa. Sikap amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, tekun, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur serta menghargai segala pemberian dan kemudahan yang diterima merupakan tunggak utama kepada akhlak yang mulia. Jangan sekali-kali menyalahgunakan peluang dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saudara-saudari.

Jagalah martabat profesion keguruan agar tidak tercemar. Ingatlah tugas dan tanggungjawab utama saudara-saudari ialah melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, taat dan setia kepada Raja dan Negara Malaysia. Sesungguhnya pelajar yang berkualiti dilahirkan oleh guru yang berkualiti dan seterusnya pelajar yang berkualiti akan menjadi modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Saudara saudari yang dikasihi,
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kerana terpilih mengikuti Program PGSR ini. Pastikan saudara-saudari mengikuti pengajian dengan tekun dan dedikasi. Berjanjilah kepada diri saudara-saudari untuk mendapat kejayaan yang cemerlang dalam pengajian dan seterusnya menjadi guru yang berkualiti yang dapat memacu kejayaan sistem pendidikan di negara ini.

Selamat Maju Jaya
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

( DATO’ MISRAH BIN HAJI IBRAHIM)
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bertarikh : 17 November 2008

PERKONGSIAN INFO

Minyak serbaguna yang boleh menyembuhkan berbagai penyakit dengan harga yang sangat berpatutan. Untuk keterangan lanjut, sila klik di sini.